SAMBUTAN 100 TAHUN SITC - UPSI

4 ERA, 1 ABAD #DEMIUPSI

Selaras dengan sambutan 100 Tahun, UPSI amat berbesar hati dengan perlantikan Prof. Dato' Dr. Md Amin bin Md Taff selaku Anak Kandung Suluh Budiman yang pertama menyandang jawatan Naib Canselor

Prof. Dato’ Dr. Md. Amin bin Md. Taff

Naib Canselor

PELANCARAN LOGO 100 TAHUN
SITC - UPSI

SITC

SULTAN IDRIS TRANING COLLEGE (SITC)

Sultan Idris Training College (SITC) dinamakan sempena nama Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Mursidul ‘adzam Shah, Sultan Perak ke 28. Penubuhannya diilhamkan oleh R.O. Winsted iaitu Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, melaluli laporannya yang disiarkan dalam tahun 1917.

Penubuhan SITC telah menyemarakkan alam pemikiran dan pendidikan bangsa Melayu pada waktu itu. Pengetua Pertama bernama O.T. Dussek dan Guru Besar Pertama adalah Mohd. Hashim Talib. SITC telah dirasmikan pembukaan pada 29 November 1922.

MPSI

MAKTAB PERGURUAN SULTAN IDRIS

1957 SITC bertukar nama kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Mandat yang diberi semakin besar apabila tujuannya melaksana dan memantapkan Dasar Pendidikan Kebangsaan pada waktu itu. Semangat nasionalis berkobar-kobar di hati warganya dengan MPSI diberi gelaran “Cradle of Malay Nationalism” oleh YAB Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia pada 20 Julai 1973 sempena Perayaan Jubli Emas SITC – MPSI.

IPSI

INSTITUT PERGURUAN SULTAN IDRIS

Demi memperkasa Latihan Perguruan Negara, MPSI ditukar nama kepada Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) pada 21 Februari 1987. Ini adalah hasil perjuangan Persatuan Suluh Budiman iaitu persatuan alumni SITC/MPSI. Penghasilan kurikulum baru dalam penawaran program-program keguruan yang lebih terkini menjadi kekuatan institut untuk terus berkembang.

UPSI

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Pada 1 Mei 1997 IPSI telah dinaiktaraf kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 bertarikh 24 Februari 1997 melalui dua buah perintah, iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997.

100 TAHUN WARISAN

Melangkah masuk ke dalam bangunan yang berunsur seni bina Belanda ala Gothic ini, dengan memijak lantai-lantai papan, terkenang bahawa di situ dahulu ketika di bawah penjajahan Inggeris, lahir guru-guru Melayu yang bukan sekadar menjadi kakitangan kerajaan.

Bangunan Suluh Budiman yang kini di naik taraf sebagai Muzium Pendidikan Nasional (MPN) mempunyai 21 galeri kekal yang berperanan dalam menyumbang pembangunan negara dan bangsa.

Galeri ni akan membawa anda memahami susur galur pendidikan di Tanah Melayu sehinggalah sekarang termasuk mengenali tokoh-tokoh yang cukup signifikan peranannya dalam lapangan dunia pendidikan Negara.

Bangunan Suluh Budiman ini telah digazetkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada 14 Februari 2009 dan semua kerja-kerja baik pulih dan konservasi ke atas bangunan ini perlu mendapat kebenaran dan dipantau oleh Jabatan Warisan Negara.

100 TAHUN PENDIDIKAN

Legasi SITC – MPSI – IPSI – UPSI mendidik guru dan guru-guru kami mendidik masyarakat. Pencapaian yang besar kepada kami apabila melihat Anak Kandung Suluh Budiman menggapai kejayaan dan anak didik mereka mencipta pencapaian yang lebih besar.

Kami sedaya upaya melahirkan graduan berfikiran kritis, inovatif, pintar, dan mempunyai daya kepemimpinan yang tinggi. Sedari dahulu kami berusaha menerapkan kemahiran asas abad ke-21 dan mengintegrasikannya ke dalam kurikulum akademik bagi mempersiapkan graduan kami untuk berjaya mendapatkan tempat dalam tenaga kerja global yang semakin kompetitif.

100 tahun SITC – MPSI – IPSI – UPSI, memberi peluang kepada seluruh lapisan masyarakat dan rakyat Malaysia untuk merenungkan sejarah, meraikan pencapaian pendidikan kami sekarang dan membayangkan masa depan UPSI untuk generasi yang akan datang.

“ANTARA TRADISI MASIH KEKAL IALAH PENDIDIK LEPASAN SITC HINGGA UPSI DIPANGGIL ‘ANAK KANDUNG SULUH BUDIMAN’ MANAKALA INSTITUSI BERKENAAN ADALAH ‘IBU KANDUNG SULUH BUDIMAN’ YANG MENDIDIK WARGA PENDIDIK MENJADI INSAN BERJASA KEPADA TANAH AIR.”

SEKRETARIAT

HUBUNGI KAMI
———————–

Sekretariat 100 Tahun UPSI,
Kampus Sultan Abdul Jalil Shah
Universiti Pendidikan Sultan Idris,
35900 Tanjong Malim,
Perak, MALAYSIA

Tel : +605 – 450 6661
Faks : +605 – 458 2776
Emel : 100tahun@upsi.edu.my

MASA PERKHIDMATAN
———————–
ISNIN – KHAMIS
8.00 PAGI – 5.00 PETANG

JUMAAT
8.00 PAGI – 12.15 TENGAH HARI
2.45 PETANG – 5.00 PETANG

SABTU, AHAD &
Cuti Umum
TUTUP